Monday, September 26, 2011

Najis Dan Istinja'



Najis

Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi. Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat.


Pembahagian Najis

Najis dari segi ‘ainnya terbahagi kepada dua:

  1. Najis haqiqiyy, iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga:

    Mughallazah (berat), iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.

    Mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun.

    Mutawassitah (pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.

    Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.

  2. Najis hukmiyy, iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadath kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadath besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.


Najis Yang Dimaafkan

Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:

  1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.

  2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah.
  3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.
  4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, darah istihadhah, air kurap atau kudis.


Cara Menyucikan Najis

Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak. Cara menyucikan najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:

  1. Najis mughallazah (berat)
  2. Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

  3. Najis mutawassitah (pertengahan)
  4. Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

  5. Najis mukhaffafah (ringan)
  6. Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.

    Untuk menyucikan najis hukmiyy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.


Istinja'

Istinja’ bererti menghilangkan najis yang keluar dari qubul atau dubur dengan air atau batu atau benda keras yang seumpama batu serta suci, dapat menghilangkan najis dan tidak haram menggunakannya.


Hukum Istinja'

Hukum istinja’ untuk menghilangkan najis adalah wajib. Sunat beristinja’ dengan batu kemudian dibasuh dengan air. Harus memilih untuk beristinja’ dengan hanya menggunakan air sahaja atau menggunakan sekurang-kurangnya tiga biji batu jika dapat menghilangkan najis. Walaubagaimanapun, lebih afdhal menggunakan air kerana air lebih berupaya dan berkesan untuk menghilangkan najis.

Jika menggunakan batu, diwajibkan menyapu dengan sekurang-kurangnya tiga biji batu atau tiga penjuru dari sebiji batu dengan syarat:

  1. Najis yang hendak dibersihkan itu tidak kering.
  2. Tidak merebak ke bahagian lain.
  3. Tidak bercampur dengan najis yang lain.

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka hendaklah menggunakan air.


Adab Membuang Air

  1. Haram menghadap ke arah qiblat atau membelakanginya apabila membuang air di kawasan lapang. Walaubagaimanapun, disunatkan juga tidak menghadap atau membelakangi qiblat apabila membuang air di dalam bangunan seperti tandas atau apabila ada dinding atau tabir antara orang itu dengan qiblat.

  2. Makruh membuang air di dalam air yang tidak mengalir atau di dalam air mengalir yang sedikit, tetapi jika air mengalir itu banyak, maka yang lebih baik dielakkan dari membuang ke dalamnya. Ini berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:

  3. “Bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam menegah membuang air (kencing) di dalam air yang tidak mengalir.”

  4. Makruh membuang air di bawah pokok buah-buahan sama ada ketika berbuah atau tidak.

  5. Makruh membuang air di dalam lubang dan di celah rekahan tanah.

  6. Makruh membuang air di jalan, di tempat teduh dan di dalam lubang yang bukan digali khas untuk membuang air.

  7. Makruh bercakap ketika membuang air kecuali kerana sesuatu keperluan.

  8. Makruh menghadap ke arah matahari atau bulan ketika membuang air.

  9. Sunat berlindung daripada pandangan manusia.

  10. Haram membawa bersama-sama sebarang benda yang ada catatan nama Allah, Al-Qur’an dan seumpamanya ketika membuang air.

No comments:

Post a Comment