Monday, September 26, 2011

Munakahat



Perkahwinan Dan Hukum-Hukum Yang Berkaitan Dengannya

1)Pengertian Perkahwinan

Maksud perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengansebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut mengenai pensyariatan perkahwinan dianjurkan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya.

Berikut dinyatakan beberapa ayat Al-Quran Al-Karim mengenai perkahwinan dan tujuan-tujuan disyariatkannya

Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3, ertinya :

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (bilah menikah) anak-anak yatim, maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat.Tetapi, jika kamu takut tidak dapatberlaku adil, maka seorang sajalah, atau hamba sahaya yang kamu miliki.Yang demikian itulah yang lebih memungkinkan kamu terhindar dari berlaku sewenang-wenangnya.”

Dari ayat tersebut di atas, dapat diambil penjelasan bahawa seorang lelaki disuruh oleh Allah Taala untuk berkahwin jika berkemampuan, sehingga kepada empat orang isteri dengan cara berlaku adil terhadap mereka sepertimana yang ditentukan oleh syarak.Sebaliknya jika bimbang tidak dapat berlaku adil maka berkahwinlah dengan seorang sahaja.

Allah berfirman, ertinya :

“Wahai manusia ! Bertaqwalah kamu kepada Tuhanmu, yang telah menjadikan kamu dari satu diri, dan daripadanya dijadikanNya serta dari keduanya Dia memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang kamu telah bertanya tentang namaNya yang peliharalah keluargamu. Sesungguhnya Allah Pengawas atas kamu.”

Di antara hadis Rasulullah SAW yang menerangkan mengenai perkahwinan adalah sebagaimana berikut – ertinya :

“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu: Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”

Dijelaskan dalan hadis di atas bahawa Rasulullah SAW memerintahkan umatnya yang mempunyai kemampuan dan keupayaan supaya berkahwin, kerana perkahwinan merupakan tuntutan syariat dan sunnah Nabi SAW. Antara faedah yang ketara di sini ialah seseorang itu dapat menjauhkan diri dari perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.

Memandangkan kelengkapan ajaran Islam dalam menjamin kesejahteraan rumahtangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan dan kehancuran kerana sudah menjadi fardhu ain terhadap orang Islam dan mengaku dirinya Islam wajib mempelajari hukum-hukum Allah termasuk hukum nikah cerai dan rujuk.

Perkahwinan hendaklah diasaskan kepada beberapa factor penting untuk menjamin kebahagiaan antaranya ialah :


  1. Perkahwinan diasaskan dengan rasa taqwa kepada Allah. Tanpa taqwa, dikhuatiri perkahwinan itu tidak akan mencapai kepada matlamatnya, tambahan pula berkahwin itu juga merupakan ibadat dan sunnah.
  2. Perkahwinan hendaklah juga diasaskan kepada rasa Al Mawaddah dan Ar Rahman. Tanpa dua perkara ini perkahwinan akan hancur dan tinggallah cita-cita sahaja.
  3. Sesebuah rumahtangga juga perlu diasaskan kepada dasar hidup bersama secara yang baik dan diredhai Allah SWT. Maka itulah yang biasa disebut Al Mu’assarah Bi Al Maaruf.
  4. Perkahwinan juga berasaskan kepada amanah dan tanggungjawab bukannya kehendak nafsu semata-mata. Suatu amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sementara tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas hati.



2)Hikmah Perkahwinan

Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai faedah dan hikmahnya yang tersendiri.Faedah dan hikmah tersebut boleh dilihat dan difikir oleh akal manusia, hanya Allah Taala sahaja yang mengetahuinya.Begitulah juga dengan perkahwinan, mempunyai faedah dan seterusnya kepada masyarakat Islam.

Di antara faedah dan hikmahnya ialah :-

  1. Supaya manusia itu hidup berpasangan menjadi suami isteri yang sah bagi mengatur dan membangunkan rumahtangga dengan janji-janji setia (akad nikah) sehidup semati.
  2. Supaya perhubungan lelaki dan wanita akan lebih bermakna lagi di sisi Allah dengan ikatan dan pertalian yang kukuh di mana tidak mudah putus atau diputuskan.
  3. Membangunkan masyarakat dari asas-asas rumahtangga yang damai dan berdisiplin.
  4. Supaya umat manusia berkembang biak bagi meramaikan dan memakmurkan bumi Allah yang luas ini.
  5. Supaya dapat melahirkan keturunan bangsa manusia yang diakui sah serta kekal pula dalam masyarakat dan negara.
  6. Supaya dapat menumpukan perasaan mahabbah, kasih sayang, tanggungjawab seorang suami kepada isteri, seorang bapa kepada anaknya, seorang datuk kepada cucunya dan seterusnya dari sebuah masyarakat kepada negara.
  7. Perkahwinan membuka pintu rezeki serta nikmat hidup.
  8. Perkahwinan memelihara agama, kesopanan, kehormatan dan kesihatan.
  9. Menyempurnakan naluri manusia bagi mendapat kepuasan nafsu dan keinginan syahwat serta menjauhkan diri dari gangguan godaan maksiat dan kezalinan yang amat dilarang oleh agama.

Pendek kata perkahwinan adalah peraturan dari Allah Taala yang diturunkan untuk kebaikan seluruh masyarakat manusia bagi mencapai kebahagiaan umat dengan baik dan sempurna. Jika keadaan rumahtangga itu kucar kacir dan tidak kukuh, maka keadaan umat itu juga turut lemah dan sengsara akhirnya.



3) Hukum-Hukum Perkahwinan

Hukum asal suatu perkahwinan adalah harus sahaja tetapi dalam pada itu berkemungkinan boleh berubah menjadi wajib, sunat, haram dan makruh di mana sesuai dengan keadaan seseorang yang akan menempuh perkahwinan.

Huraiannya adalah seperti berikut :-

  1. Perkahwinan yang wajib.
  2. Orang yang diwajibkan berkahwin ialah orang yang sanggup untuk berkahwin, sedang ia khuatir terhadap dirinya akan melakukan perbuatan zina.

  3. Perkahwinan yang sunat
  4. Orang yang disunatkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dan sanggup memelihara diri dari kemungkinan melakukan perbuatan yang terlarang.

  5. Perkahwinan yang haram
  6. Orang yang diharamkan berkahwin ialah orang yang mempunyai kesanggupan untuk berkahwin tetapi kalau ia berkahwin diduga akan menimbulkan kemudharatan terhadap pihak yang lain seperti orang gila, orang yang suka membunuh atau mempunyai sifat-sifat yang dapat membahayakan pihak yang lain dan sebagainya.

  7. Perkahwinan yang makruh
  8. Orang yang makruh hukumnya berkahwin ialah orang yang tidak mempunyai kesanggupan untuk berkahwin (dibolehkan melakukan perkahwinan) tetapi ia dikhuatiri tidak dapat mencapai tujuan perkahwinan.Oleh itu dianjurkan sebaliknya ia tidak melakukan perkahwinan.

Demikian huraian hukum-hukum perkahwinan yang boleh dijadikan panduan dan juga pengajaran yang baik kepada sesiapa yang hendak berkahwin.


Rukun Nikah

  1. Calon isteri. (perempuan)
  2. Calon suami. (lelaki)
  3. Wali.
  4. Dua orang saksi.
  5. Akad ijab dan qabul.


Syarat-Syarat Calon Isteri

  1. Bukan mahram dengan bakal suami.
  2. Bakal isteri itu tentu orangnya, tidak sah perkahwinan kalau seorang bapa berkata: “Saya nikahkan awak dengan salah seorang daripada anak-anak perempuan saya”.Pendeknya mestilah ditentukan yang mana satu daripada anak-anaknya itu.
  3. Bukan isteri orang dan bukan pula masih dalam iddah.
  4. Benar-benar yang ia seorang perempuan – bukan khunsa.
  5. Dengan rela hatinya bukan dipaksa-paksa kecuali bakal isteri itu masih gadis maka bapa atau datuk (bapa kepada bapa) boleh memaksanya berkahwin.


Syarat-Syarat Caalon Suami

  1. Bukan mahram dengan bakal isteri.
  2. Dengan pilihan hatinya sendiri, tidak sah berkahwin dengan cara paksa.
  3. Lelaki yang tertentu, tidak sah perkahwinan kalau wali berkata kepada dua orang lelaki : “Saya nikahkan anak perempuan saya Aminah dengan salah seorang daripada kamu berdua.”
  4. Bakal suami mestilah tahu yang bakal isteri itu sah berkahwin dengannya.
  5. Bakal suami itu bukan sedang dalam ilham.
  6. Bakal suami tidak dalam keadaan beristeri empat.


Syarat-Syarat Wali

  1. Islam, orang yang tidak beragama Islam tidak sah menjadi wali atau saksi.Firman Allah:
  2. Ertinya : Wahai orang yang beriman janganlah kamu ambil orang Yahudi dan orang Nasrani untuk menjadi wali.

    (Surah Al-Maidah : Ayat 51)

  3. Baligh
  4. Berakal
  5. Merdeka
  6. Lelaki, perempuan tidak boleh menjadi wali.Sabda Rasulullah SAW :
  7. Ertinya : Tidak harus perempuan mengkahwinkan perempuan dan tidak perempuan mengkahwinkan dirinya sendiri, dan kami berkata: perempuan yang mengkahwinkan dirinya sendiri adalah penzina.

    (Riwayat Al-Dar Al-Qatni)

  8. Adil – tidak pasiq, sabda Rasulullah SAW :
  9. Ertinya : Tidak sah perkahwinan itu melainkan dengan wali yang adil.

  10. Tidak dalam ihram, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
  11. Ertinya : Orang yang sedang berihram tidak boleh berkahwin dan tidak boleh mengkahwinkan orang lain.

    (Riwayat Muslim)

  12. Tidak cacat akal atau fikirannya samada kerana terlalu tua atau lainnya.
  13. Tidak dari orang yang ditahan kuasanya dari membelanjakan hartanya kerana bodoh atau terlalu boros.


4) Syarat- Ijab Dan Qabul

a.Syarat-syarat ijab :

  1. Hendaklah dengan perkataan nikah atau tazwij yang terang dan tepat.
  2. Lafaz ijab itu tidak mengandungi perkataan yang menunjukkan perkahwinan itu terbatas waktnya.
  3. Dari wali sepertii katanya : “Saya nikahkan awak dengan anak saya Fatimah dengan mas kahwin lima ratus ringgit tunai / bertangguh”, atau pun dari wakil wali seperti katanya : Saya nikahkan dikau dengan Fatimah binti Yusof yang telah berwakil wali ayahnya kepada saya dengan mas kahwin sebanya lima ratus ringgit tanai / bertangguh”.
  4. Tidak dengan lafaz ta’liq seperti kata wali : “Saya nikahkan dikau dengan anak saya Fatimah sekiranya anak saya itu diceraikan dan selesai iddahnya”.


    b.Syarat-syarat Qabul :

  1. Tidak berselang lama atau tidak diselangi dengan perkataan-perkataan lain di antara ijab dan qabul. Ertinya di antara ijab dan qabul tidak diselangi oleh sesuatu samada perkataan-perkataan yang lain daripada ijab dan qabul atau diam yang lama, bukan diam untuk bernafas.
  2. Diterima oleh calon suami seperti katanya : “Saya terima nikahnya dengan mas kahwin sebanyak yang tersebut tunai / bertangguh”. Ataupun wakilnya seperti katanya: “Saya terima nikahnya untuk Osman, (kalau calon suami itu bernama Osman) dengan mas kahwin yang tersebut”.
  3. Lafaz qabul itu tidak berta’liq.
  4. Lafaz qabul itu tidak mengandungi perkataan yang menunjukkan nikah itu terbatas waktunya.
  5. Hendaklah disebut nama bakal itu atau ganti namanya, seperti kata calon suami : “Saya terimalah nikah Fatimah atau nikahnya”.
  6. Lafaz qabul itu sesuai dengan lafaz ijab.
  7. Hendaklah lafaz qabul itu lafaz yang terang bukan sindiran.


5) Syarat-Syarat Saksi

  1. Kedua saksi perkahwinan itu mestilah beragama Islam.
  2. Lelaki
  3. Berakal
  4. Baligh
  5. Merdeka
  6. Adil (tidak fasiq).
  7. Melihat, tidak sah menjadi saksi orang yang buta.
  8. Mendengar, tidak sah menjadi saksi orang yang pekak.
  9. Kuat ingatan, maksudnya ingat apa yang didengar dan yang dilihat.
  10. Faham dengan bahasa yang digunakan dalam ijab dan qabul.
  11. Bukan yang tertentu menjadi wali seperti bapa atau saudara lelaki yang tunggal (tidak ada saudara lelaki yang lain), ertinya : tidak sah perkahwinan sekiranya bapa atau saudara yang tunggal itu mewakilkan kepada orang lain untuk mengakadkan perkahwinan itu sedangkan mereka menjadi saksi dalam perkahwinan tersebut.


6) Susunan Wali

  1. Bapa
  2. Datuk sebelah bapa hingga ke atas
  3. Saudara seibu sebapa
  4. Saudara sebapa
  5. Anak saudara lelaki seibu sebapa hingga ke bawah.
  6. Anak saudara lelaki sebapa hingga ke bawah
  7. Bapa saudara seibu sebapa hingga ke atas.
  8. Bapa saudara sebapa hingga ke atas.
  9. Anak bapa saudara seibu sebapa (sepupu) hingga ke bawah.
  10. Anak bapa saudara sebapa (sepupu) hingga ke bawah.
  11. Kemudian hakim (Sultan) termasuklah orang-orang yang dilantik oleh Sultan seperti Kadhi atau naib Kadhi.
  12. Di dalam susunan wali tersebut, wali yang paling hampir kepada perempuan digelar dengan wali aqrabdan yang terjauh digelar dengan wali ab’adh.

    Untuk menjadi wali perkahwinan itu mestilah didahulukan yang lebih aqrab kemudian kalau tidak ada yang lebih aqrab baharulah yang selepas dan begitulah seterusnya.


    7) Wali Hakim

      Hakim mempunyai kuasa untuk menjadi wali dalam satu-satu perkahwinan di masa yang tertentu seperti berikut :

    1. Ketika tidak ada wali yang tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Aalihi Wassallam :

      Ertinya :

      Sultan menjadi wali bagi mereka yang tidak ada wali.

    2. Wali enggann mengahwinkannya walaupun wali mujbir (bapa atau datuk) sekiranya keengganan itu kurang dari tiga kali, tetapi jika keengganan itu lebih dari tiga kali maka wali yang lebih jauh darinya berhak menjadi wali sebagaimana dalam susunan wali.

      Sebagai contoh wali yang enggan menikahkan yaitu : perempuan yang baligh, berakal memohon kepada wali supaya mengahwinkan dengan seorang lelaki yang setaraf dengannya sedangkan wali bapa atau datuk mahukan seorang yang lain yang setaraf juga. Bentuk yang demikian tidaklah dianggap wali itu enggan atau ingkar, kerana wali itu lebih matang daripada perempuan itu dari segi perhatian dan pandangan untuk kepentingan atau kebahagiaan perempuan tersebut.

    3. Wali berada di tempat yang jauh sekadar perjalanan yang mengharuskan qasar sembahyang iaitu kira-kira enam puluh batu dan tidak ada pula wali yang sedarjat dengan wali yang jauh itu di tempat perempuan yang akan dikahwinkan itu.
    4. Wali sedang di dalam ihram dan tidak ada wali yang lain yang sedarjat yang tidak di dalam ihram.
    5. Wali itu sendiri berkahwin dengan sempurna itu, seperti anak bapa saudara yang ketika sepatutnya beliau menjadi wali, tetapi oleh kerana beliau inginkan perempuan itu untuk menjadi isterinya dan tidak ada wali yang lain yan sedarjat dengannya maka ketika itu hakimlah yang menjadi wali.
    6. Hakim menjadi wali untuk mengahwinkan perempuan yang sudah baligh tetapi gila, sekiranya perlu dikahwinkan dan tidak ada wali yang mujbar (bapa atau datuk).
    7. Wali di dalam tahanan dan tidak boleh dihubungi sama sekali.
    8. Wali bersembunyi.
    9. Wali ghaib dan tidak diketahui hidup atau mati atau di mana ia tinggal.


    8) WALI MUJBIR

    Sebelum ini telah dinyatakan susunan wali, di dalam susunan wali tersebut terdapat dua golongan iaitu :

    1. Wali mujbir :iaitu bapa dan datuk (bapa kepada bapa)sekiranya bapa sudah tidak ada, kedua-dua ini berhak mengkahwinkan perempuan yang masih gadis (anak dara) tanpa meminta keizinan daripada gadis tersebut lbih dahulu dengan syarat-syarat yang akan diterangkan kemudian. Walau bagaimanapun kedua-duanya disunatkan meminta keizinan gadis itu terlebih dahulu, sabda Rasulullah SAW.
    2. Ertinya : Janda lebih berhak ke atas dirinya dan anak dara dikahwinkan dia oleh bapanya.

    3. Bukan Mujbir iaitu : wali perkahwinan bagi yang bukan anak dara atau yang berkahwin itu anak dara tetapi bukan wali bapa atau datuk.Dalam keadaan ng begini wali tidak boleh mengkhwinkan tanpa meminta keizinan terlebih dahulu,kerana sabda Rasulullah SAW.

    Ertinya : Janganlah kamu kahwinlah janda sehingga kamu meminta keizinan mereka terlebih dahulu.

    (Riwayat At-Tarmidzi)

    Oleh sebab seorang janda sudah mengetahui maksud atau tujuan perkahwinan sebab itulah tidak boleh dipaksa dengan tidak mendapat keizinan.


9) Syarat-Syarat Sah Bapa Atau Datuk Mengkahwinkan Anak Dara Tanpa Keizinannya

  1. Tidak ada permusuhan di antara calon isteri dengan walinya.
  2. Tidak ada permusuhan di antara calon isteri dengan bakal suami.
  3. Kufu’ atau setaraf di antara bakal suami dengan calon isteri.
  4. Bakal suami sanggup membayar mas kahwin dengan tunai.
  5. Keempat-empat syarat tersebut adalah menjadi syarat bagi sahnya perkahwinan itu.

Selain dari syarat-syarat tersebut di tambah dengan syarat-syarat lain seperti berikut:

  1. Hendaklah mas kahwin yang setanding (mahar misil).
  2. Kahwin itu hendaklah dari wang yang digunakan dalam negeri itu.
  3. Bakal suami itu bukanlah dari orang yang menyusahkan bakal isteri untuk hidup bersamanya seperti orang buta atau terlalu tua.

Sekiranya ketiga-tiga syarat ini tidak diperolehi dan perkahwinan itu dilakukan juga, maka perkahwinan itu sah, tetapi wali adalah berdosa, pendeknya perkahwinan haram dilakukan.


Perempuan Yang Haram Dikahwini

Perempuan yang haram dikahwini terbahagi kepada dua bahagian :

  1. Haram buat selama-lamanya.
  2. Haram buat sementara waktu.


1) Sebab-Sebab Haram Dikahwini

  1. Haram dengan sebab keturunan
  2. Haram dengan sebab susuan
  3. Haram dengan sebab persemendaan (musoharah).


2)Haram Dengan Sebab Keturunan

  1. Ibu dan ibu kepada ibu (nenek) hinggalah ke atas.
  2. Anak, cucu dan seterusnya ke bawah.
  3. Saudara perempuan seibu atau sebapa atau seibu sahaja.
  4. Saudara perempuan bagi bapa (emak saudara) hingga ke atas.
  5. Saudara perempuan ibu (emak saudara) hingga ke atas.
  6. Anak saudara dari saudara lelaki hingga ke bawah.
  7. Anak saudara dari saudara perempuan hingga ke bawah.

Sebagai dalil bagi pengharaman tersebut ialah firman Allah :

Ertinya : Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa, emak saudara sebelah ibu, anak saudara dari saudara lelaki, dan anak saudara dari saudara perempuan kamu.

(Surah An-Nisa : ayat 23)


Perhatian :

Anak perempuan yang lahir hasil dari perzinaan, tidak haram dengan bapa zinanya kerana anak perempuan yang lahir dari zina dianggap orang asing (ajanabiah) baginya, ini ialah kerana mani zina itu tidak dihormati, walau bagaimanapun makruh bagi bapa zina mengahwini anak zinanya, berdasarkan perselisihan pendapat di antara utalam Abu Hanifah (mazhab Hanafi) yang berpendapat :

Tidak halal bagi bapa zina mengahwini anak perempuan yang hasil dari zinanya dan anak zinanya itu dianggap sebagai muhrimnya, iaitu sama seperti anak biasa.

Walaupun tidak halal dikahwini tetapi tidak berhak mendapat pusaka dari bapa zinanya itu.

Bagi ibu yang berzina dan semua muhrimnya adalah haram mengahwini anak zinanya, begitu juga anak zina itu berhak mendapat pusaka dari ibunya.


3) Haram Dengan Sebab PEnyusuan

  1. Ibu yang menyusukan.
  2. Saudara perempuan yang sepersusuan.
  3. Firman Allah :

    Ertinya : Dan diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara-saudara kamu sepersusuan.

    Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan, sebagaimana sabda Nabi SAW :

    Ertinya : Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan.

    (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Syarat-Syarat Haram Dengan Sebab Susuan

  1. Ibu yang menyusukan itu telah baligh.
  2. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
  3. Ertinya : Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun.

    (Riwayat Al-Dar Qatni)

  4. Bilangan menyusunya sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang, sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Aishah :
  5. Ertinya : Adalah pada ayat yang diturunkan dari Quran ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja.

    (al-Hadith)

  6. Susu yang diberi kepada anak-anak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-lima kalinya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

    Ertinya :Tidak diharamkan kahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun.

    (Riwayat : At-Tarmidzi)

    Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.


4)Haram Dengan Sebab Persemendaan (Berambil-Ambilan)

  1. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.
  2. Ibu tiri, datuk tiri hingga ke atas.
  3. Menantu perempuan (isteri anak), isteri cucu hingga ke bawah.
  4. Anak tiri dengan syarat sudah disetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan, maka tidaklah haram mengkahwinkan anak tiri itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan.Pengharaman keempat-empat orang ini berdasarkan firman Allah :
  5. Ertinya : Dan diharamkan ibu isteri kamu, dan anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi, maka jika ibunya itu belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengkahwini anak tiri itu dengan begitu juga haram mengkahwini isteri anak kamu yang sejati.

    (Surah An-Nisa:ayat 23

    Dan firman Allah :

    Ertinya:Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu (ibu tiri).

    (Surah An-Nisa : ayat 22)


5)Perempuan-Perempuan Yang Haram Dikahwini Buat Sementara Waktu Dengan Sebab Menghimpunkannya

  1. Saudara-saudara perempuan bagi isteri.Sebagaimana firman Allah :

    Ertinya : Da haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu.

  2. Anak saudara isteri sebelah bapa.
  3. Anak saudara isteri sebelah ibu.
  4. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.
  5. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.
  6. Sabda Rasulullah SAW :

    Ertinya : Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapa dan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelakinya dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan, tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar.

    (Riwayat At-Tarmidzi)


Maskawin

1)Pengertian Maskawin(Al-Mahar)

Maskahwin ialah : pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan.Sebagaimana firman Allah:

Ertinya :Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka S.A.W.:

Sabda Rasulullah SAW :

Ertinya : Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi.

(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Dari hadith tersebut nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja, asalkan sesuatu yang berguna dan berfaedah,samada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat,Sebagaimana Rasulullah pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tidak ada memiliki sesuatu apa pun untuk dijadikan maskahwin, lalu Rasulullah bertanya kepada lelaki itu

"adakah pada engkau sedikit dari ayat-ayat Quran," lelaki itu menyahut bahawa dia ada mengingati beberapa surat, kemudian Rasulullah pun mengkahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surat yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isteri lelaki itu.

Maskahwin ini tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit.Jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya maskahwin ini terpulanglah kepada persetujuan kedua belah pihak pengantin dan biasanya mengikuti taraf atau darjat pengantin tersebut, walau bagaimanapun pihak syarak tidak mengalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

Ertinya : Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah.

Hadis tersebut menunjukkan bahawa disunatkan maskahwinkan itu rendah nilainya, supaya tidak menjadi keberatan kepada lelaki untuk mencarinya, walaupun begitu, bukanlah bermaksud rendah sehingga sampai menjatuhkan taraf wanita.


2)Bahagian Mahar

  1. Mahar Misil
  2. Ialah mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah dinilai sama dengan maskahwin keluarga yang paling dekat sekali, seperti kakak, emak saudara dan seterusnya di samping menilai keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

  3. Mahar Musamma
  4. Ialah maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.


3) HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AKAD

1. Sunat

Sunat, kerana Rasulullah sendiri tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya di masa akad bila menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya di masa akad, dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan berhubung dengannya, juga dapat membezakan di antara perkahwinan biasa dengan perkahwinan seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah tanpa mahar.

Sekiranya mahar tersebut tidak dinyatakan di masa akad bukanlah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika tidak disebut.


2. Wajib

Wajib disebut mahar di waktu akad dalam keadaan yang berikut :

1. Jika bakal isteri itu seorang yang masih budak kecil, gila, atau bodoh, sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya (mahar misil).
2. Jika bakal isteri yang sudah baligh, bijak dan boleh menguruskan diri sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya, tetapi ia tidak menyerahkan kepada walinya untuk menetapkan maskahwinnya.
3. Jika bakal suami itu seorang yang tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri, seperti ia masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang dari mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui.

Maksud wajib di sini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatunya (mahar Misil).


4) WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut di dalam akad, Jika dinyatakan di masa akad, maskahwin wajib juga dibayar dengan keadaan yang berikut :


1. Bila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul (setubuh) dan dipersetujui oleh pihak isteri. Oleh yang demikian, isteri berhak menghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya, samada dengan secara tunai atau berhutang. Jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwin itu.


2. Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh qadhi dengan sebab keingkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan senan perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila qadhi menentukannya maskahwin tersebut hendaklah dibayar tunai (tidak boleh berhutang).

3. Bila suami menyetubuhi isterinya wajib dibayar maskahwin menurut kadar yang seimbang dengan taraf isteri tersebut.



5) GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin, firman Allah :

Ertinya : Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum mensetubuhinya, sedangkan kamu telah menentukan maskahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu.

Hal ini berlaku sekiranya perceraian itu berpunca dari pihak suami seperti suami menjadi murtad, atau suami menganut Islam sedangkan isterinya tidak dan sebagainya, tetapi jika penceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami menfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri, maka maskahwin itu akan gugur semuanya.



6) MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak warithnya wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada janda tersebut dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada wraith jandanya itu, jika maskahwin belum dijelaskan lagi sebelum, sabda Rasulullah S.A.W. :

Ertinya : Dari Al-Qamah katanya : Seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwinnya pun belum ditentukan kadarnya, kata Al-Qamah: mereka mengadukan hal tersebut kepada Abdullah maka Abdullah berpendapat, perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula ia beriddah, maka ketika ini Ma’kil bin Sanan Al-Shakbi menjelaskan bahawa sesungguhnya nabi S.A.W. telah memutuskan terhadap Buruq bte Wasiq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi.

(Riwayat Al-Kamsah dan Sahih At-Tirmidzi)


7) AL-MUT’AAH

Ertinya:Satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri.

Banyaknya pemberian ini adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya, kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar. Firman Allah:

Ertinya :Terangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik.

(Al-Ahzab : ayat 49)



Bab : WALIMATUL URUS

1) HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakad ( yang sangat dituntut) sebagaimana sabda Nabi S.A.W. :

Ertinya : Kata Nabi S.A.W. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun menyembelih seekor kambing.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


2) HUKUM MENGHADIRI MAJLIS KAHWIN

Menerima jemputan ke majlis adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran tidak dapat menghadirinya, seperti sakit dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya : Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin hendaklah kamu menghadirinya.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)



3) SYARAT-SYARAT WAJIB PERGI KE MAJLIS KAHWIN BILA DIUNDANG

1. Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang-orang kaya sahaja.
2. Yang menjemput itu juga beragama Islam.
3. Yang dijemput itu juga beragama Islam.
4. Kenduri itu tidak menggunakan wang atau harta haram.
5. Yang dijemput itu tidak menerima pada satu masa, maka hendaklah menerima jemputan yang lebih dekat dari segi keluarga kemudian dipandang dari segi dekat tempatnya.
6. Tidak didapati perkara-perkara yang mungkar di majlis itu seperti mengadakan minuman keras dan sebagainya.

Muamalat


  1. Muamalat itu adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya.
  2. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam .
  3. Muamalat yang dimaksudkan ialah dalam bidang ekonomi yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat.
  4. Segala harta yang ada di alam ini samada di muka bumi, dilaut atau di dasar adalah milik Allah s.w.t secara mutlak. Manusia disuruh memiliki harta yang di sediakan oleh Allah s.w.t melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang di anugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang amanat Allah s.w.t dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.



  5. Firman Allah S.W.T :


    Maksudnya : Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)

    (Surah Al-Mulk Ayat 15)

  6. Mencari harta kekayaan amat di galakkan oleh Islam,kerana harta merupakan alat bagi mencapai kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan harta tersebut seseorang itu dapat memenuhi keperluan hidupnya di samping dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap agama.
  7. Dalam mencari harta kekayaan,umat Islam di kehendaki menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebaikan dan kebajikan untuk faedah bersama.
  8. Bagi memastikan kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh manusia dilaksanakan dengan baik dan mencapai keredhaan Allah s.w.t. Islam telah menggariskan beberapa peraturan bagi mencapai matlamat tersebut.


Peraturan

  1. Mencari harta kekayaan dengan cara yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t.
  2. Mengamalkan akhlak-akhlak yang mulia dalam menjalankan urusan ekonomi dengan pihak yang lain seperti amanah, adil, jujur, tidak menipu dan lain-lain.
  3. Menjalankan sesuatu kegiatan ekonomi yang dapat memberi faedah kepada seluruh manusia.
  4. Semua kegiatan yang dijalankan hendaklah berteraskan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan syariat Islam. Keimanan kepada Allah merupakan benteng untuk menghalang seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang tidak di ingini.
  5. Semua kegiatan yang dijalankan bertujuan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. Kebaikan-kebaikan yang dilakukan semasa menjalankan kegiatan ekonomi secara tidak langsung akan memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan sesama Islam dan yang bukan Islam.


Tujuan

  1. Iaitu supaya di dalam kehidupan manusia tidak akan berlaku sesuatu kecurangan seperti rampas-merampas,ceroboh-menceroboh pada pemilikan serta tipudaya dan sebagainya.
  2. Kehendak manusia itu sendiri ialah meletakkan manusia nilai dan taraf yang tinggi sehingga beroleh keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.
  3. Muamalat juga menentukan peraturan-peraturan berusaha dan bekerja untuk manusia dengan jalan yang halal.

Sabda Rasulullah s.a.w : maksudnya :

Daripada Abdullah bin An – Nukman bin Basyir r.anhuma katanya :" Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang halal itu telah nyata (jelas hukumnya) dan yang haram itu juga telah nyata (jelas hukumnya) dan di antara kedua-duanya (halal dan haram) itu terdapat perkara-perkara syubhah (yang tidak jelas akan kehalalan dan keharamannya) yang tidak di ketahui oleh ramai manusia, maka barangsiapa yang berjaga-jaga dari perkara-perkara yang syubhah sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dengan agama dan kehormatannya dan barangsiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah maka sesungguhnya ia telah terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram, seumpama pengembala yang mengembala di sekitar padang rumput yang berpagar hampir- hampir binatang gembalaannya masuk dan memakan rumput-rampai yang berpagar ini . Maka ketahuilah sesungguhnya bagi setiap raja itu ada padanya kawasan larangan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kawasan larangan Allah adalah perkara - perkara yang telah di haramkannya . Dan ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat satu ketul daging, jika ia baik maka baiklah keseluruhan tubuh dan sekiranya ia rosak maka rosak pulalah keseluruhan jasad, sesungguhnya ia adalah hati."

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)


Peranan

  1. Mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Muamalat yang di jalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan,pemerasan,ketidakadilan,memonopoli harta dan sebagainya,inilah matlamat muamalat dalam Islam demi kesejahteraan umat manusia.
  2. Muamalat dalam Islam bertujuan menghindarkan berlakunya sebarang penindasan sesama manusia. Islam menegah umatnya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang akan menyusahkan pihak yang di tindas.
  3. Supaya semua kegiatan ekonomi yang dijalankan bersih daripada sebarang perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t,kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang keji seperti riba’,rasuah,menipu atau sebagainya yang dilarang oleh Allah s.w.t.
  4. Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya :

    Daripada Abu Hurairah r.a. katanya : Sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang mengumpulkan harta daripada punca haram kemudian dia sedekahkan harta itu,dia tidak akan mendapat pahala,bahkan dosa yang akan menimpanya”

    (Riwayat Ibnu Khuzaimah,Ibnu Hibban dan Al-Halim)

  5. Bermuafakat secara Islam melahirkan manusia yang berakhlak mulia dalam menjalankan suatu amanat Allah s.w.t.
  6. Memudahkan manusia untuk merasai kurniaan Allah s.w.t dengan cara yang betul dan diredhainya. Sekiranya tiada peraturan bermuamalat,manusia akan melakukan apa saja untuk memperoleh harta yang banyak,mereka juga akan mengunakan harta mengikut nafsu tanpa memikirkan kepentingan orang lain.
  7. Mengalakkan manusia supaya rajin bekerja untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga,masyarakat dan negara.
  8. Melahirkan masyarakat yang saling bekerjasama, tolong –menolong dan bantu-membantu untuk kebaikan dan kebajikan bersama.
  9. Supaya harta kekayaan yang disediakan oleh Allah s.w.t tidak hanya di monopoli oleh golongan tertentu sahaja. Semua manusia berhak mendapat dan memiliki harta mengikut keupayaan masing-masing asalkan dengan cara yang betul dan diredhai Allah s.w.t


Fadhilat

  1. Memperolehi harta kekayaan dengan cara yang diredhai oleh Allah s.w.t.
  2. Seseorang itu dapat menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebajikan.
  3. Seseorang yang menggunakan hartanya untuk faedah orang lain akan beroleh pahala daripada Allah s.w.t.
  4. Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah akan mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya :Berimanlah kamu kepada Allah dan rasulnya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil,maka orang yang beriman antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah) maka tetap beroleh pahala yang besa .

(Surah Al-Hadid Ayat 7)

  1. Peraturan-peraturan dalam bermuamalat mengikut Islam secara tidak langsung melahirkan manusia yang berakhlak mulia.
  2. Mewujudkan masyarakat yang adil,bertanggungjawab,amanah,jujur dan terhindar daripada melakukan perbuatan yang tidak baik.
  3. Antara kesan-kesan yang timbul sekiranya muamalat yang dijalankan tidak mengikut syariat Islam termasuklah:
    1. Membawa kepada pergaduhan dan permusuhan
    2. Melahirkan sebuah masyarakat yang tidak aman.
    3. Melahirkan individu yang bersikap mementingkan diri sendiri.
    4. Mendapat harta dengan cara yang tidak halal.
    5. Menggunakan harta pada perkara-perkara yang tidak diredhai oleh Allah dan membazir.
    6. Melahirkan manusia yang bersifat tamak, kedekut, haloba dan sanggup menindas orang lain demi kepentingan diri sendiri.


Perkara berhubung muamalat

  1. Murabahah (Jualan Penambahan Untung)
  2. Iaitu menyebutkan harga modal barang-barang yang dibeli kepada orang yang akan membeli dengan memberi syarat supaya barang itu diberi untung.

    Contoh 1:

    Umpamanya seseorang berkata : "Barangku ini aku beli berharga RM100, sekarang berilah aku keuntungan 10%" lalu diterima oleh orang yang akan membeli.

    -Maka penjual di atas mendapat untung RM10 dari modal belian beharga RM100.

    Contoh 2:

    Umpamanya seseorang berkata :"Saya jual rumah ini dengan harga yang saya beli dengan tambahan untung 10%".

    Contoh 3:

    Umpamanya seseorang berkata :"Saya jual kepada anda sebagaimana saya beli serta untung satu dirham pada tiap-tiap sepuluh dirham" jawab pembeli itu,saya terima.

    -Maka sahlah jualan itu.

    Contoh 4:

    Umpamanya seseorang berkata :"Aku hendak menjual barang-barangku yang telah kubeli, bila engkau mahu membeli barangku itu semua maka tiap-tiap 10 buah, engkau aku beri sebuah. Jadi yang dibeli adalah 9, sedangkan yang satu lagi adalah hadiah."

  3. Wadi'ah (Simpanan)
  4. Ertinya barang yang diserahkan (diamanatkan) kepada seseorang supaya barang itu dijaga dengna baik. Jadi barang Wadiah itu beerti barang amanat yang harus dikembalikan kepada orang yang empunya,bila ia datang meminta.


    Firman Allah s.w.t:

    Maksudnya : "Maka hendaklah orang yang diamanahkan itu menyempurnakan apa yang diamanahkan kepadanya,dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah"

    (Surah Al-Baqarah ayat 283)


    Firman Allah s.w.t:

    Maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruhmu,supaya amanat itu diserahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang empunya)".

    (Surah An-nisa' ayat 58)

Tasawwuf



Bab 1Pengertian Ilmu Tasawwuf :

Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela .

2. Ilmu tasawwuf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah .

3. Syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainah:
a) Banyak bersabar .
b) Banyak menderita yang di alami oleh jiwa .

4. Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat Mahmudah / terpuji di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :

1) Taubat .
2) Khauf ( Takut )
3) Zuhud
4) Sabar.
5) Syukur.
6) Ikhlas.
7) Tawakkal.
8) Mahabbah ( Kasih Sayang )
9) Redha.
10) Zikrul Maut ( Mengingati Mati )

5. Dan Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah / tercela / sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :

1) Banyak Makan
2) Banyak bercakap.
3) Marah.
4) Hasad.
5) Bakhil.
6) Cintakan kemegahan.
7) Cintakan dunia .
8) Bangga Diri.
9) Ujub ( Hairan Diri ).
10) Riya' ( Menunjuk-nunjuk ).


Bab 2: Khauf

1. Khauf bererti takut akan Allah s.w.t., iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. serta takutkan kemurkaanNya dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

2. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan kepada Akulah ( Allah ) sahaja hendaklah kamu merasa gerun dan takut bukan kepada sesuatu yang lain".
( Surah Al-Baqarah - Ayat 40 )

3. Seseorang itu tidak akan merasai takut kepada Allah s.w.t. jika tidak mengenalNya. Mengenal Allah s.w.t. ialah dengan mengetahui akan sifat-sifat ketuhanan dan sifat -sifat kesempurnaan bagi zatNya.

4. Seseorang itu juga hendaklah mengetahui segala perkara yang disuruh dan segala perkara yang ditegah oleh agama.

5. Dengan mengenal Allah s.w.t. dan mengetahui segala perintah dan laranganNya, maka seseorang itu akan dapat merasai takut kepada Allah s.w.t.

6. Rasa takut dan gerun kepada Allah s.w.t. akan menghindarkan seseorang itu daripada melakukan perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. dan seterusnya patuh dan tekun mengerjakan perkara yang disuruhnya dengan hati yang khusyuk dan ikhlas.



Bab 3 : Sifat Redha

1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.



Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :
Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh - sungguh ". ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )
Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ' Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".
( Surah At Taubah : Ayat 59 )

Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. 'Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ',Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.


Redha Dengan Qada' :
Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :


Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
( Riwayat Muslim )



Bab 4 : Ikhlas

1. Sifat ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. dan diqasadkan ( niat ) untuk menjunjung perintah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.

2. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )

3. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t.

4. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

5. Dalam meninggalkan larangan Allah s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada makhluk atau sebagainya.

( Rujukan Kitab - Mengenal Ilmu Tasawwuf – Mohd Sulaiman bin Hj. Yasin )



Bab 5 : Taubat

1. Iaitu kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.

2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )

3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :

  • Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.
  • Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.
  • Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi.
  • Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.
  • Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.

4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum ( terpelihara daripada dosa ) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.

5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:

  • Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa.
  • Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
  • Meningkatkan ketaqwaan diri.
  • Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia
    dengan berbuat dosa dan maksiat.
  • Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup di dunia
    dan akhirat.



Bab 6 : Zuhud

1. Ertinya meninggalkan dunia melainkan kadar yang patut daripadanya.

2. Zuhud yang sempurna ialah meninggalkan perkara lain selain Allah S.W.T.

3. Dunia ialah tiap-tiap perkara yang tidak dituntut oleh syarak dan ianya sebagai tempat bercucuk-tanam ( berbuat kebaikan dan amalan soleh ) untuk akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.

4. Setiap manusia berkehendak kepada beberapa perkara bagi meneruskan hidup yang mana manusia berkehendak kepada makanan , pakaian , tempat tinggal dan lain-lain lagi.

5. Oleh yang demikian, sifat zuhud itu adalah mencari keperluan hidup sekadar yang boleh membantu ia untuk beribadah kepada Allah S.W.T.
( zuhud orang awam ).



Bab 7 : Sabar

  • Iaitu menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak disukai.
  • Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu kepada yang lain daripada Allah subhanahu wata‘ala ketika berlaku sesuatu bala atau bencana.

2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.

3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.

  • Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.
  • Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.



Bab 8 : Syukur

  • Iaitu mengaku dan memuji Allah atas nikmat yang diberi dan menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah subhanahu wata‘ala.
  • Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada makhlukNya adalah dengan limpah kurniaNya semata-mata, seperti nikmat kesihatan, kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut merupakan suatu kewajipan kepada Allah subhanahu wata‘ala.
  • Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana orang yang tidak berterima kasih adalah orang yang tidak mengenang budi. Oleh itu, hendaklah digunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk menambahkan ibadah kepada Allah dan sangatlah keji dan hina menggunakan nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat.



Bab 9 : Tawakkal

  • Iaitu menetapkan hati dan berserah kepada Allah pada segala perkara yang berlaku serta jazam (putus) pada i`tiqad bahawa Allah subhanahu wata‘ala yang mengadakan dan memerintahkan tiap-tiap sesuatu.
  • Berserah kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan sebagainya.



Bab 10 : Mahabbah

  • Iaitu kasihkan Allah subhanahu wata‘ala dengan mengingatiNya pada setiap masa dan keadaan.
  • Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan segala perintahNya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta perkara-perkara yang membawa kemarahanNya.



Bab 11 : Zikrulmawt

  • Iaitu sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.
  • Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak akan kembali lagi.



SIFAT MAZMUMAH
1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

  • Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
  • Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

  • Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.
  • Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

  • Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.
  • Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.
  • Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

  • Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
  • Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
  • Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

  • Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.
  • Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.
  • Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

  • Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.
  • Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.
  • Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

  • Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.
  • Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.
  • Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.
  • Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

  • Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.
  • Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
  • Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

  • Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.
  • Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.
  • Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

  • Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.
  • Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
  • Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.

Akhlak



1.KONSEP AKHLAK

Walaupun manusia boleh dipisahkan daripada bidang ilmu atau pemikiran, bahkan juga boleh dipisahkan daripada agama dan kepercayaan, tetapi tidak boleh dipisahkan dengan akhlak atau moral. Ini kerana setiap perbuatan, amalan atau tindakan yang diambil tidak terlepas atau terkeluar daripada lingkungan hukuman sama ada terhadap dirinya atau orang lain ataupun benda lain iaitu adakah baik atau tidak segala tindakan tersebut. Jika baik jawapannya perkara itu akan dilakukan tetapi jika jahat perkara itu akan ditinggalkan. Itulah akhlak yang baik. Tetapi jika sebaliknya yang dilakukan itulah akhlak yang buruk.

Dari sini ternyata kedudukan akhlak dalam kehidupan manusia sehingga di kalangan orang yang tidak bermoral mereka merasakan perlu adanya suatu akhlak yang diakui bersama oleh mereka supaya dapat mengatur kehidupan yang lebih baik menurut pandangan mereka.
Islam merangkumi aqidah, dan syariat mengandungi roh akhlak. Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi, atau jasad yang tidak bernyawa. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Islam itu akhlak yang baik". Begitu juga sabda Baginda yang bermaksud : "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia."



2.PENGERTIAN AKHLAK

Menurut bahasa: Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-khulq) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:
Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam:4)

Menurut istilah:
Antara definasi akhlak menurut istilah ialah: sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.

Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan:

Akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.

Imam Ghazali radiAllahu anhu mengatakan:
Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.

Menurut Islam:
Islam mempunyai dua sumber iaitu Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyyah. Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.

Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:

Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenalpasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi bagi mencapai keredhaan Allah .

Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.

Dengan kata lain, akhlak ialah suatu system yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.



3. PERBEZAAN ANTARA AKHLAK DAN MORAL @ETIKA

i) Akhlak merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia manakala moral ialah satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia sahaja.
ii) Akhlak mencakup pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain manakala moral mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan manusia sahaja.
iii) Nilai-nilai akhlak ditentukan oleh Allah swt melalui al-Quran dan tunjuk ajar oleh Rasulullah saw manakala moral ditentukan oleh manusia.
iv) Nilai-nilai akhlak bersifat mutlak, sempurna dan tetap manakala nilai-nilai moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.



ANTARA CONTOH PERBEZAAN ANTARA AKHLAK DAN MORAL

1. Pakaian : Menurut Islam pakaian bagi seseorang muslim mestilah menutup aurat. Seandainya mereka tidak menutup aurat maka ia telah dianggap sebagai orang yang tidak berakhlak kerana telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Berbeza dengan moral, jika seseorang itu mendedahkan aurat tetapi masih mempunyai perlakuan yang baik, maka mereka masih dianggap bermoral oleh sesetengah pihak.

2. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan : Fenomena seumpama ini sudah menjadi suatu lumrah bai masyarakat di Barat dan masyarakat kita. Berdasarkan penilaian Barat perkara ini masih dianggap bermoral, sebaliknya jika dilihat dari sudut akhlak Islam, perlakuan sedemikian sudah dianggap tidak berakhlak.
3. Bersalaman : Bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram menurut Islam walaupun tujuannya untuk merapatkan hubungan. Tetapi perkara ini dibolehkan dalam sistem moral.



4. SKOP AKHLAK ISLAM

Skop akhlak Islam adalah luas merangkumi segenap perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia sama ada hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk lain.

a) Akhlak dengan Allah : Antara ciri-ciri penting akhlak manusia dengan Allah swt ialah :

-Beriman kepada Allah : iaitu mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa Allah itu wujud serta beriman dengan rukun-rukunnya dan melaksanakan tuntutan-tuntutan di samping meninggalkan sebarang sifat atau bentuk syirik terhadapnya.
-Beribadah atau mengabdikan diri, tunduk, taat dan patuh kepada Allah : iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah swt.
-Sentiasa bertaubat dengan tuhannya : iaitu apabila seseorang mukmin itu terlupa atau jatuh kepada kecuaian dan kesilapan yang tidak seharusnya berlaku lalu ia segera sedar dan insaf lalu meminta taubat atas kecuaiannya.
-Mencari keredhaan Tuhannya : iaitu sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalannya. Segala gerak geri hidupnya hanyalah untuk mencapai keredhaan Allah dan bukannya mengharapkan keredhaan manusia walaupun kadang kala terpaksa membuat sesuatu kerja yang menyebabkan kemarahan manusia.
-Melaksanakan perkara-perkara yang wajib, fardhu dan nawafil.
-Redha menerima Qadha' dan Qadar Allah : Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur dan apabila dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka menjadilah baik baginya."

b) Akhlak dengan manusia :

-Akhlak dengan Rasulullah : iaitu beriman dengan penuh keyakinan bahawa nabi Muhammad saw adalah benar-benar nabi dan Rasul Allah yang menyampaikan risalah kepada seluruh manusia dan mengamalkan sunnah yang baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan.
-Akhlak dengan ibubapa : iaitu berbuat baik (berbakti) ke pada ibu bapa. Berbuat baik di sini mengandungi erti meliputi dari segi perbuatan, perkataan dan tingkah laku. Contohnya berkata dengan sopan dan hormat, merendahkan diri, berdoa untuk keduanya dan menjaga keperluan hidupnya apabila mereka telah uzur dan sebagainya. Firman Allah swt yang bermaksud : " Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa."
-Akhlak dengan guru : Maksud dari sebuah hadith Nabi saw: "Muliakanlah orang yang kamu belajar daripadanya." Setiap murid dikehendaki memuliakan dan menghormati gurunya kerana peranan guru mengajarkan sesuatu ilmu yang merupakan perkara penting di mana dengan ilmu tersebut manusia dapat menduduki tempat yang mulia dan terhormat dan dapat mengatasi berbagai kesulitan hidup sama ada kehidupan di dunia ataupun di akhirat.
-Akhlak kepada jiran tetangga : Umat Islam dituntut supaya berbuat baik terhadap jiran tetangga. Contohnya tidak menyusahkan atau mengganggu mereka seperti membunyikan radio kuat-kuat, tidak membuang sampah di muka rumah jiran, tidak menyakiti hati mereka dengan perkataan-perkataan kasar atau tidak sopan dan sebagainya. Malah berbuat baik terhadap jiran tetangga dalam pengertiannya itu dapat memberikan sesuatu pemberian kepada mereka sama ada sokongan moral atau material.
-Akhlak suami isteri : Firman Allah swt yang bermaksud : "Dan gaulilah olehmu isteri-isteri itu dengan baik."
-Akhlak dengan anak-anak : Islam menetapkan peraturan terhadap anak-anak. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Kanak-kanak lelaki disembelih aqiqahnya pada hari ketujuh dari kelahirannya dan diberi nama dengan baik-baik dan dihindarkan ia daripada perkara-perkara yang memudharatkan. Apabila berusia enam tahun hendaklah diberi pengajaran dan pendidikan akhlak yang baik."
-Akhlak dengan kaum kerabat : Firman Allah yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan dan memberi kepada kaum kerabat."

c) Akhlak terhadap makhluk selain manusia :

-Malaikat :Akhlak Islam menuntut seseorang muslim supaya menghormati para malaikat dengan menutup kemaluan walaupun bersendirian dan tidak ada orang lain yang melihat.
-Jin : Adab terhadap golongan jin antaranya Rasulullah melarang membuang hadas kecil di dalam lubang-lubang di bumi kerana ia adalah kediaman jin. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Jangan kamu beristinjak dengan tahi kering dan jangan pula dengan tulang-tulang kerana sesungguhnya tulang-tulang itu adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin."
-aiwan ternakan : Haiwan yang digunakan untuk membuat kerja, maka tidak boleh mereka dibebani di luar kesanggupan mereka atau dianiaya atau disakiti. Malah ketika hendak menyembelih untuk dimakan sekalipun, maka hendaklah penyembelihan dilakukan dengan cara yang paling baik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam, tidak mengasah pisau di hadapan haiwan tersebut atau menyembelih haiwan di samping haiwan-haiwan yang lain.
-Haiwan bukan ternakan : tidak menganiayai haiwan-haiwan bukan ternakan seperti mencederakannya dengan menggunakan batu dan sebagainya.
-Alam : Manusia diperintahkan untuk memakmurkan sumber-sumber alam demi kebaikan bersama. Islam menetapkan bahawa alam ini tidak boleh dicemari dengan kekotoran yang boleh merosakkan kehidupan manusia dan kehidupan lainnya.



5.SUMBER AKHLAK ISLAM

Dalam Islam akhlak adalah bersumber dari dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini ditegaskan leh Rasulullah saw dalam sepotong hadith yang bermaksud : "Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
Allah swt telah memuji Rasulullah kerana akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam al-Quran, firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya engkau seorang memiliki peribadi yang agung (mulia)."



6.KEDUDUKAN AKHLAK DALAM ISLAM

Akhlak mempunyai kedudukan yang paling penting dalam agama Islam. Antaranya :
-Akhlak dihubungkan dengan tujuan risalah Islam atau antara perutusan utama Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." Pernyataan Rasulullah itu menunjukkan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam.
-Akhlak menentukan kedudukan seseorang di akhirat nanti yang mana akhlak yang baik dapat memberatkan timbangan amalan yang baik. Begitulah juga sebaliknya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Tiada sesuatu yang lebih berat dalam daun timbangan melainkan akhlak yang baik."
-Akhlak dapat menyempurnakan keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Orang mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya."
-Akhlak yang baik dapat menghapuskan dosa manakala akhlak yang buruk boleh merosakkan pahala. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Akhlak yang baik mencairkan dosa seperti air mencairkan ais (salji) dan akhlak merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu."
-Akhlak merupakan sifat Rasulullah saw di mana Allah swt telah memuji Rasulullah kerana akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam al-Quran, firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya engkau seorang yang memiliki peribadi yang agung )mulia)." Pujian allah swt terhadap RasulNya dengan akhlak yang mulia menunjukkan betapa besar dan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam. Banak lagi ayat-ayat dan hadith-hadith Rasulullah saw yang menunjukkan ketinggian kedudukan akhlak dan menggalakkan kita supaya berusaha menghiasi jiwa kita dengan akhlak yang mulia.
-Akhlak tidak dapat dipisahkan dari Islam, sebagaimana dalam sebuah hadith diterangkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : "Wahai Rasulullah, apakah itu agama?" Rasulullah menjawab : "Akhlak yang baik."
-Akhlak yang baik dapat menghindarkan seseorang itu daripada neraka sebaliknya akhlak yang buruk menyebabkan seseorang itu jauh dari syurga. Sebuah hadith menerangkan bahawa, "Si fulan pada siang harinya berpuasa dan pada malamnya bersembahyang sedangkan akhlaknya buruk, menganggu jiran tetangganya dengan perkataannya. Baginda bersabda : tidak ada kebaikan dalam ibadahnya, dia adalah ahli neraka."
-Salah satu rukun agama Islam ialah Ihsan, iaitu merupakan asas akhlak seseorang muslim. Ihsan iaitu beribadat kepada allah seolah-olah kita melihatNya kerana walauun kita tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kita.



7.KEPENTINGAN AKHLAK DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

Akhlak merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak berakhlak. Akhlak juga merupakan roh Islam yang mana agama tanpa akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikutnya yang telah menyeleweng.
Hal ini juga berlaku pada zaman jahiliyyah yang mana akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak beragama.
Akhlak juga merupakan nilai yang menjamin keselamatan daripada api neraka. Islam menganggap mereka yang tidak berakhlak tempatnya dia dalam neraka. Umpamanya seseorang itu melakukan maksiat, menderhaka kepada ibu bapa, melakukan kezaliman dan sebagainya, sudah pasti Allah akan menolak mereka daripada menjadi ahli syurga.
Selain itu, akhlak juga merupakan ciri-ciri kelebihan di antara manusia kerana ianya lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman seseorang manusia yang berakal. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : "Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."

Kekalnya sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah ialah ummah yang seperti di Madinah pada zaman Rasulullah saw.

Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata : "Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak."
Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut.
Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.

Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.

Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.



8.CIRI-CIRI AKHLAK ISLAM

-Islam menyeru agar manusia menghiasi jiwa dengan akhlak yang baik dan menjauhkan diri dari akhlak yang buruk. Yang menjadi ukuran baik dan burukna adalah syarak, iaitu apa yang diperintahkan oleh syarak, itulah yang baik dan apa yang dilarang oleh syarak itulah yang buruk.

-Lingkungan skop akhlak Islam adalah luas meliputi segala perbuatan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk selain manusia. -Islam menghubungkan akhlak dengan keimanan. Orang yang paling sempurna keimanannya ialah orang yang paling baik akhlaknya.

-Adanya konsep balasan dan ganjaran pahala atau syurga oleh Allah dan sebaliknya orang yang berakhlak buruk akan mendapat dosa atau disiksa dalam neraka.



9. PEMBENTUKAN AKHLAK MULIA

Akhlak adalah sesuatu perilaku yang boleh diubah dan dibentuk, contohnya Saidina Umar al-Khattab, sebagaimana keadaan beliau semasa berada di zaman jahiliyyah berbanding keadaannya sesudah memeluk agama Islam. Dari sini dapat disimpulkan bahawa akhlak merupakan sesuatu yang semulajadi tetapi ianya perlu dibentuk. Terdapat beberapa cara untuk membentuk dan membina akhlak mulia. Antara cara-cara itu ialah melalui :

a) Pendidikan Iman sebagai Asas Akhlak

Pendidikan merupakan salah satu cara untuk mencorak manusia menjadi seseorang yang beriman. Iman adalah asas kepada akhlak Islam. Tidak akan sempurna iman seseorang jika tidak disertai oleh akhlak yang baik. Contohnya dengan melaksanakan segala perintah Allah yang berupa ibadah kerana kesemua perintah Allah tersebut bertujuan untuk membersihkan diri dan menyuburkan jiwa manusia dengan sifat-sifat terpuji.

Lantaran itu setiap ayat al-Quran menyeru manusia berbuat baik dan mencegah manusia daripada melakukan perbuatan mungkar. Biasanya didahului dengan panggilan "Wahai orang-orang yang beriman" kemudian barulah diikuti dengan perintah atau larangan. Iman yang teguh tetap memerlukan akhlak yang teguh. Jika berlaku kemerosotan akhlak di kalangan manusia, puncanya adalah kelemahan iman dan tertakluk kepada kefasikan atau kejahatan yang dilakukan oleh seseorang.

Pendidikan iman bolehlah disimpulkan sebagai suatu pemulihan tenaga keimanan seseorang supaya dapat mempertahankan diri manusia daripada segala kerendahan dan keburukan serta dapat mendorong manusia ke arah kemuliaan.

b) Melalui Latihan dan Bimbingan Pendidik Berkualiti

Pendidikan yang diberikan itu hendaklah bermula dari rumah yang ditangani oleh ibu bapa. Selepas itu barulah berpindah ke peringkat sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi bagi pendidikan berbentuk formal. Ibu bapa seharusnya mempunyai keperibadian dan akhlak yang mantap sebagai pendidik dan pembinbing seperti lemah lembut dalam pertuturan, pergaulan, sabar, lapang dada, istiqamah, berwawasan dan seumpamanya.

c) Mengambil Rasulullah saw Sebagai Contoh

Rasulullah adalah contoh teladan dan ikutan yang paling tepat bagi semua peringkat kehidupan. Bersesuaian dengan itu, Allah swt telah berfirman bahawa Nabi Muhammad saw diutuskan kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak di kalangan mereka. Firman Allah yang bermaksud : "Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat serta sentiasa menyebut dan memperingati Allah dalam masa senang dan susah." Contoh-contoh akhlak Rasulullah saw :



1. Akhlak Rasulullah saw dengan Allah swt

-Mengabdikan diri setiap detik dan masa kepada Allah dengan penuh kepatuhan, ketaatan, kecintaan dan kesyukuran yang tidak berbelah bagi terhadap Allah di samping redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepadanya.

-Melaksanakan kewajipan yang wajib atau difardhukan serta amalan-amalan sunat seperti bangun malam mengadakan Qiyamullail, berpuasa sunat, zikir, istighfar, doa, tasbih, tahmid dan sebagainya.


2. Akhlak Rasulullah saw dengan sesama manusia

-Akhlak Rasulullah saw meliputi aspek kekeluargaan, soaial, ekonomi, politik dan sebagainya. Dari aspek kekeluargaan, Rasulullah saw berjaya mewujudkan suasana yang harmoni dan Rasulullah saw pernah bersabda : "Rumahku adalah syurgaku."

-Rasulullah saw merupakan seorang yang bertanggungjawab, sentiasa memberi kasih sayang, berlemah lembut dan bertolak ansur terhadap semua ahli keluarganya.

-Rasulullah saw juga selalu berbincang dengan para sahabat dan menghargai pandangan yang diberikan oleh mereka. -Begitu juga akhlak dan sikap Rasulullah saw terhadap orang bukan Islam iaitu menghormati mereka, bersopan santun dan memberi haknya kepada mereka terutama dari segi kejiranan. Contohnya kisah baginda dengan seorang wanita Yahudi (jirannya) yang akhirnya wanita Yahudi tersebut telah memeluk Islam atas keprihatinan, kesabaran dan kemuliaan akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah saw.


-3. Akhlak Rasulullah saw dengan makhluk lain.

-Rasulullah saw begitu peka dan prihatin terhadap makhluk yang lain seperti haiwan, tumbuha-tumbuhan dan alam sekitar.

-Rasulullah saw menasihati umatnya supaya berlaku ihsan kepada haiwan dan binatang ternakan serta tidak menzalimi atau menyiksa mereka. Demikian juga tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.



10.FAKTOR-FAKTOR KERUNTUHAN AKHLAK

a) Persekitaran
Faktor persekitaran banyak mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. Antaranya ialah :
-Individu yang hidup dalam keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup yang berakhlak, maka jiwanya akan terdidik dengan tingkah laku, tutur kata dan gaya hidup yang tidak baik.
-Kehadiran teknologi canggih dalam media massa sama ada bercetak atau elektronik juga sedikit sebanyak memberi kesan dalam pembentukan akhlak seseorang iaitu melalui adegan-adegan ganas dan berunsur seks yang boleh merosakkan jiwa mereka.
-Pengaruh rakan sebaya dan masyarakat sekeliling juga merupakan faktor yang membentuk keperibadian dan akhlak seperti tingkah laku, tutur kata dan cara bertindak.
-Permasalahan keluarga yang melibatkan ibu bapa contohnya pergaduhan dan perceraian boleh membawa kepada permasalahan sosial seperti lari dari rumah, menyertai rakan sebaya mahupun kumpulan yang rosak akhlaknya sehingga membawa kepada pergaulan bebas, perzinaan, pengambilan dadah, pelacuran (bohsia) dan seumpamanya.
-Budaya masyarakat yang cenderung ke arah liberalisme juga membawa masyarakat kini mudah terjeba dengan budaya rock, rap, lepak dan seumpamanya.


b) Nafsu
Nafsu adalah anugerah Allah swt kepada manusia dan nafsu juga adalah musuh sebati dengan diri manusia yang melaksanakan hasrat nafsu manusia. Manusia yang terlalu menurut kehendak nafsunya akan terdorong untuk melakukan keburukan. Seandainya nafsu tidak dapat dikawal, sudah asti boleh menghilangkan maruah diri, agama dan nilai budaya sesebuah masyarakat dan membawa kepada kemungkaran sebagaimana berlaku dalam masyarakat kini.


c) Syaitan

Satu lagi musuh ghaib yang sentiasa mendampingi manusia dengan memperalatkan nafsu manusia iaitu syaitan. Fungsi syaitan adalah sebagai agen perosak akhlak manusia berlaku sejak Nabi Adam a.s. dan berterusan hingga ke hari kiamat.
Kesimpulannya setiap manusia yang hidup terpaksa menghadapi ujian dan cubaan hidup dalam usaha melatih diri menjadi manusia yang berakhlak dan bersedia menghadapi segala rintangan.



Cara-cara mengatasi dan memperbaiki akhlak :
-Menguatkan nilai-nilai aqidah dan keimanan dalam jiwa.
-Mengawal pancaindera daripada melihat atau mendengar perkara-perkara yang membangkitkan atau menguatkan syahwat dan hawa nafsu yang menjadi punca segala sifat buruk dan keji.
-Mempelajari huraian atau penjelasan al-Quran dan Hadith serta penafsirannya oleh para ulama mengenai akhlak terpuji untuk membersihkan jiwa.
-Melatih diri membiasakan perbuatan-perbuatan baik seperti ibadah berupa solat, puasa dan lain-lain dan menjauhkan diri daripada segala perbuatan buruk dan keji.
-Berkawan dan berjiran dengan orang-orang yang berakhlak mulia kerana kawan atau jiran memberi kesan atau pengaruh dalam pembinaan akhlak seseorang.
-Mempelajari kehidupan para nabi, sahabat, ulama atau auliya dan menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh teladan dalam kehidupan kita.
-Dalam segala tindak tanduk kita hendaklah sentiasa mengikuti dan menggunakan akal fikiran dan janganlah mengikut perut dan hawa nafsu kita.
-Sentiasa berdoa memohon bantuan Allah swt agar dilengkapkan diri dengan akhlak yang mulia dan mendapatkan perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.