Tuesday, September 27, 2011

Mukadimah PAFA

Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) ialah beberapa perkara yang terpenting dari Fardu Ain yang berkaitan dengannya, yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam. PAFA hendak dipastikan supaya tiap-tiap murid / pelajar benar-benar mengetahui, memahami dan boleh mengamalkannya dengan cara yang betul dan sempurna sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.

TUJUAN

  • Mengenalpasti murid/pelajar yang lemah dalam kefahaman dan amalan Perkara Asas Fardu Ain, kemudian membimbing sehingga mereka dengan sendirinya faham dan dapat mengamalkan dengan betul dan sempurna.

  • Mempastikan tidak terdapat sebarang keciciran dalam Perkara Asas Fardu Ain. Dengan perkataan lain, menentukan kejayaan 100%.

  • Menimbulkan dan menyuburkan keinsafan dan kerelaan yang positif untuk menghayati amalan kehidupan sehari-hari.

PERATURAN

1. Penilaian Perkara Asas Fardhu Ain (PAFA) dijalankan dalam ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

2. Penilaian Perkara Asas Fardu Ain (PAFA) dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

3. Penilaian dijalankan sendiri oleh guru mata pelajaran Pendidikan Islam di kelas masing-masing sebagai proses penilaian biasa dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

4. Penilaian dijalankan secara lisan dan amali mengikut sebagaimana yang telah ditetapkan.

5. Soalan dan jawapan penilaian adalah sebagaimana yang telah ditetapkan dalam laman web ini. Soalan dan jawapan tersebut tidak rahsia. Murid-murid hendaklah diberitahu lebih awal.

6. Tempuh penilaian bermula dari hari pertama pada penggal pertama persekolahan dalam tahun peperiksaan berkenaan, dan berakhir sebulan sebelum tarikh peperiksaan bertulis dijalankan.

7. Sepanjang tempuh penilaian tersebut, murid hendaklah diberi masa, peluang dan bimbingan yang secukupnya untuk mengulang, memperbetulkan dan memperbaiki kesalahan dan kelemahan sehingga mereka dengan sendirinya faham dan dapat mengamalkan sesuatu kelemahan dengan jaya, betul dan sempurna.

8. Pencapaian murid hendaklah dicatat dari masa ke semasa secara kemaskini dalam Borang Individu dan Borang Berkelompok. Catatan tersebut adalah rekod bagi proses dan keputusan penilaian yang dicapai oleh murid/pelajar.

9. Suatu penyetaraan akan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri/ Bahagian/ Daerah sebagai sebahagian dari tugas penyeliaan harian biasa. Penyetaraan adalah untuk tujuan pengesahan dan pelaporan penilaian.

10. Pencapaian LULUS dalam sesuatu KOD/TAJUK ialah apabila murid faham dan dapat mengamalkan kemahiran sekurang-kurangnya pada tahap keupayaan yang PALING MINIMUM sekira-kira 'SAH' di segi Syara'.

11. Murid /Pelajar diakui LULUS dalam keseluruhan penilaian Perkara Asas fardu Ain apabila mereka berjaya memahami dan mengamalkan semua KOD/TAJUK soalan yang ditetapkan.

12. Pihak sekolah hendaklah melaporkan keputusan penilaian kepada Lembaga Peperiksaan Kementerian Penidikan menurut prosedur biasa yang ditetapkan.

13. Kementerian Pendidikan akan melaporkan pernyataan 'LULUS' atau 'GAGAL' dalam keputusan atau sijil peperiksaan. Pernyataan tersebut tidak mengubah atau menjejaskan sistem penggredan dan aggregat keputusan peperiksaan yang sedang berjalan sekarang.

No comments:

Post a Comment